Cerita orang marhaen....

Aku marhaen...



Semalam, seorang sahabat yang telah dimabuki sastera bercerita dengan gaya bersahaja, sambil melurut misainya. Kata kawanku dia terbaca dari sebuah akhbar. Saya terpegun dan saya cuba ringkaskannya disini...



Stesen komuter macet. Air mata langit yang mula merenjis bumi, entah bila akan berhenti. Dari tadi, aku melihat, matahari segar berdiri megah, tanpa bergantung pada sesiapa di dada langit. Yakin, teguh dan gagah gayanya.



Tapi kini, kekuatan itu telah lenyap, dan dengan mata yang bisu ini juga aku melihat ia termalu-malu bersembunyi di balik awan, dan bumi terus gelap. Entah, mungkin malu melihat gadis genit di sebelah yang menampakkan tali anak baju ketika menunggu komuter, atau malu melihat golongan aristokrat itu sedang mengafankan bahasa dan bangsa di laman rumahnya sendiri. Ah, peduli aku, lagipun aku bukan kenal sangat dengan aristokrat itu, hanya dari pojok kecil akhbar yang sering menceritakan keburukan itu. tapi, itu keluaran lama, keluaran baru sudah dihentikan. itupun kata orang, aku tak juga pasti.



Matahari yang termalu-maluan tadi mungkin pasrah dalam marah, terus pergi dan tidak lagi baik seperti biasa. Cahayanya sudah dimalapkan,, dan aku sedikit bergelap, bersama yang lain. Mungkin mentari kepenatan, atau gurau kawanku, mentari tadi ke lapangan golf, menenangkan fikiran.



Komuter tiba. Sendat, padat dan ketat. Maklumlah, waktu puncak. Dulu pernah terbaca yang perdana menteri pernah menaiki komuter ini. Aku naik, bersesak-sesak. Seorang gadis yang biru kelopak matanya sedang bergantung pada pemegang. Tangannya tinggi diatas, dan aku berpaling ke kawasan lain. tadi, aku nampak pangkal tanggannya basah, sedikit. Mengadap pintu, di sebelah kirinya seorang gadis berambut blonde, sedang menaip mesej. aku sedikit menjeling, dan dapat ku baca. ABG, ORG SBLH NI, BAU DIA BSUK LA, KUAT SNGT BAU. EEE, NAK MNTAH.



Aku pandang tepi, pandang kanan. Sah. Akulah yang di omel perempuan persis model tadi. Ahh, aku apa peduli. Dia pun, jerawat berceratuk di muka, hidung penyek tapi berambut merah.



Sedang melayan perasaaan sakit hati, dan sedikit ketermaluan aku, papan tanda di sebelah pintu, tertangkap oleh mataku. Salah satunya, lambang kepala lelaki dan perempuan bercium, dan tertulis INDECENT BEHAVIOR. Dulu pernah aku ke England, tapi tulisan yang sama. Di Malaysiapun, tulisan yang sama. Apa la, susah sangat ke orang asing nak faham maksud arahan ini? kenapa tak diletak sahaja tulisan bahasa Malaysia sahaja, tulisan orang putih itu tak payah diletakkan. Biar Bahasa Malaysia itu berdiri sendiri.



Aku pusing kepala, banyak lagi lambang dan arahan, iklan dan semua perkara yang perlu dibaca umum, mempunyai dwibahasa. Ohh, mungkin kerana jiwa Malaysia yang menghormati tetamu, jadi tak mahu pelancong asing susah. Mungkin. Tapi, apa guna punya bahasa sendiri? Apa guna jadi Orang Malaysia, dan apa tu, orang Melayu?



Termenung aku, seorang remaja berseluar hijau pucuk pisang, berkaki kecil potonganya, bajunya tertulis SAYA SAYANG EMAK! sedang bercakap telefon. Bahasa Inggerisnya berderai dan dicampur-campur dengan bahasa Malaysia. Seketika, talian diputuskan. Pemuda berambut seperti tidak disikat itu meraut muka. Mungkin puas, ataupun kawannya sudah tunggu di Cititel, tempat kunjungan manusia yang suka membeli dan menikmati daging segar. Hahaha, aku sedikit jahat, tapi mungkin.



Komuter perlahan, dan, sudah sampai rupanya. Orang ramai berrebut keluar. Seorang mak cik gemuk di sebelah aku menolak-nolak, dan berkata, excuse me, excuse me. Aku keluar.



Di sana, sedikit kecoh. Aku pun turut terjenguk-jenguk melihat. Seorang polis sedang menggari seseorang, ahh, sebangsa denganku. Jantungku berdegup pantas, Darah laju mengalir di pembuluh darah. Nafas terasa kasar, kerongkang terasa tersekat. Sedang berfikir, tanganku dipulas dari belakang. Bunyi besi gari, dan tanganku termati.



Tuan, ini ada seorang lagi. Polis bermisai lebat yang bernama Tuan itu, datang. Pasport? aku geleng. Tuan semakin dekat. Asal dari mana? Bangladesh Tuan.....


Tinta Marhaen

1 comments:

madeeha muhammad said...

hahahahaha......respect aaa a.lias......ayat power giler....

sy igtkan a.lias penceritanyer....upanyer.....